Teks Ucaptama
Y.A.B. Dato Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Majlis Pelancaran Sistem Laluan MyCoID Fasa Kedua
Dibacakan oleh Y.B. Dato Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
3 November 2010
di Pusat Dagangan Dunia Putra

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Sidek bin Hassan Ketua Setiausaha Negara, Ketua-ketua Setiausaha dan wakil-wakil Kementerian serta agensi, Ahli-ahli badan profesional, wakil-wakil persatuan, wakil-wakil media, seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Alhamdulilah, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapat kita berhimpun pada pagi ini untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Sistem Laluan MyCoID fasa kedua.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Y.B. Dato Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di atas jemputan bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Sistem Laluan MyCoID fasa kedua ini.

Sebagaimana yang para hadirin sedia maklum, pada awal tahun ini, iaitu pada 11 Februari 2010 saya telah melancarkan sistem MyCoID fasa pertama. Inisiatif ini memperkenalkan nombor pemerbadanan syarikat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sumber rujukan tunggal yang digunakan oleh agensi-agensi perintis seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp. Malaysia).

Penggunaan MyCoID sebagai nombor rujukan tunggal ini merupakan langkah strategik kerajaan bagi mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian awam yang berasaskan kepada konsep mudah, cepat dan berkesan dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat. Sambutan terhadap sistem ini amat mengalakkan di mana sejak diperkenalkan sehingga 25 Oktober 2010, sejumlah 53,575 transaksi menggunakan MyCoID, dengan SSM dan agensi-agensi perintis telah digunakan oleh komuniti perniagaan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Hari ini, saya berbangga berada di majlis ini bersama-sama para hadirin sekalian untuk bersama-sama menyaksikan kesinambungan kejayaan sistem MyCoID dengan pelancaran sistem laluan (gateway) MyCoID fasa kedua yang telah dipertingkatkan. Di dalam fasa kedua sistem laluan MyCoID ini, data dapat disalurkan secara automatik bagi tujuan pendaftaran dengan agensi kerajaan secara serentak dengan pemerbadanan syarikat.

Pelancaran sistem MyCoID fasa kedua ini juga perlu dibanggakan kerana ia bertepatan dengan strategi keempat Bajet 2011 iaitu memantapkan penyampaian perkhidmatan awam, sejajar dengan usaha mendukung gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Untuk itu, Kerajaan telah menyalurkan peruntukan dana sebanyak RM3.5 juta pada tahun 2011 bagi memperluaskan inisiatif MyCoID ini ke agensi-agensi dan kementerian lain. Ini adalah tambahan kepada peruntukan sebanyak RM6.9 juta yang telah diluluskan pada awal tahun ini. Inisiatif ini penting kerana ia dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan keusahawanan dan pelaburan sektor swasta yang sememangnya penting untuk mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Setelah dilaksanakan sepenuhnya, sistem ini dijangka dapat memberi manfaat dalam empat aspek berikut :
Pertama, ia memudahkan orang awam terutama komuniti korporat dalam urusan perniagaan mereka di mana mereka kini hanya perlu menggunakan satu nombor rujukan sahaja berbanding beberapa nombor rujukan berlainan yang dikeluarkan oleh setiap agensi tersebut. Di samping itu, orang ramai tidak perlu lagi berurusan secara berasingan dengan agensi-agensi tersebut;

Kedua, ia dapat mempertingkatkan keberkesanan transaksi di antara orang awam dan agensi Kerajaan melalui pengurangan masa rujuk silang (cross-referencing) sesama agensi Kerajaan berkenaan. Sekaligus mempercepatkan transaksi dan seterusnya mengurangkan kos perniagaan dan meningkatkan produktiviti satu sistem penyampaian awam yang lebih efisien.

Ketiga, ia dapat mempertingkatkan interaksi sesama agensi terutamanya dalam penyaluran input, pengesahan dan pengemaskinian data, pertukaran maklumat dan penguatkuasaan; dan Keempat, pembangunan sistem laluan MyCoID yang menggabungkan proses pemerbadanan syarikat dan pendaftaran dengan agensi-agensi lain akan membolehkan urusan pendaftaran dengan pelbagai agensi dapat dilakukan secara one touch point dan dapat memberi impak strategik terhadap persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Umum mengetahui bahawa Kerajaan mensasarkan kedudukan sebagai 10 negara teratas di dunia dalam urusan menjalankan perniagaan menjelang akhir tempoh RMKe-10. Saya berharap pelaksanaan sistem laluan MyCoID fasa kedua ini akan dapat memberi impak positif dalam meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global dan seterusnya memperbaiki kedudukan negara dalam penilaian Bank Dunia khususnya di dalam aspek Starting a Business. Berdasarkan laporan penilaian Bank Dunia Doing Business 2010, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 di antara 183 negara di dunia. Tetapi ketika penilaian ini dilakukan, memulakan perniagaan di Malaysia memerlukan sebanyak sembilan proses dan 11 hari. Kini saya berasa bangga untuk menyatakan bahawa dengan pelaksanaan sistem laluan MyCoID fasa kedua ini, memulakan perniagaan di Malaysia hanya memerlukan satu proses dan dapat disiapkan dalam tempoh sehari. Ini menjadikan Malaysia setara dan setanding dengan negara di kedudukan pertama dalam aspek memulakan perniagaan iaitu New Zealand. Dengan andaian ceteris paribus, atau faktor-faktor lain tidak berubah bagi negara-negara lain, improvisasi dalam aspek memulakan perniagaan ini sahaja mampu melonjakkan kedudukan negara kepada kedudukan ke-17 pada tahun hadapan suatu peningkatan yang besar kepada negara. Namun, sudah tentulah perkara ini tidak semudah itu, kerana dalam masa yang sama negara-negara lain turut melakukan peningkatan berterusan dalam pelbagai aspek. Inilah mengapa saya sering nyatakan bahawa untuk maju kita perlu sentiasa berada di hadapan keluk perubahan manakala untuk kekal di hadapan kita perlu menerajui perubahan. Tuan-tuan dan puan-puan, Projek membangunkan sistem MyCoID ini telah membuktikan bahawa kerjasama strategik antara agensi-agensi dan institusi-institusi Kerajaan mampu melahirkan perkhidmatan yang cemerlang.

Saya yakin komitmen yang ditunjukkan oleh setiap agensi yang terlibat bagi mempermudah dan mempercepat perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat dan sektor swasta akan seterusnya dapat meningkatkan daya saing negara dalam tempoh terdekat. Justeru, saya berharap inisiatif MyCoID ini akan dapat diperluaskan dan digunapakai oleh lebih banyak Kementerian and agensi Kerajaan pada masa hadapan bagi maksud capaian awam yang lebih meluas. Saya difahamkan bahawa SSM sedang merancang untuk membuka kiosk-kiosk MyCoID di seluruh Negara dan di agensi-agensi yang berkaitan bagi memudahkan lagi orang ramai untuk melakukan urusan-urusan berkaitan dengan pemerbadanan syarikat. Pewujudan kiosk-kiosk ini, saya kira akan dapat memberi satu medium alternatif yang lebih baik kepada orang ramai dalam mencapai perkhidmatan MyCoID ini. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah dan syabas kepada SSM dan semua agensi kerajaan yang telah terlibat dalam usaha membangunkan sistem laluan MyCoID ini. Semoga usaha gigih yang telah ditunjukkan tidak terhenti di sini tetapi sentiasa ditingkatkan untuk mengenalpasti, menilai dan mengkaji semula amalan-amalan masa kini dan membuat pemurnian terhadap sistem dan prosedur kerja, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi yang telah direncanakan. Akhir kata, dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya dengan ini merasmikan Pelancaran Sistem Laluan MyCoID Fasa Kedua. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum wbt. dan terima kasih.